Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Kenaikan harga sayur-sayuran itu ialah kubis bunga yang naik dari RM7 kepada RM16 sekilogram.

Sawi pendek juga melonjak kepada RM9 berbanding RM3 sebelum ini; brokoli RM8 kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis dari harga RM8 kepada RM15 sekilogram; kubis RM4 kepada RM6; cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima aduan daripada peruncit mengenai kenaikan harga barangan berkenaan.

Mohideen.

Katanya, beberapa peruncit turut mengadu pengedar dan pemborong sudah memberi amaran harga sayur-sayuran lain mungkin akan naik dalam beberapa minggu akan datang.

“Sehubungan itu, kita menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera menangani kenaikan harga sayur-sayuran yang meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

“Kita harap Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menyiasat kenaikan harga berkenaan memandangkan ia akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohideen, tindakan tegas perlu diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Anti-Pencatutan 2010.

“CAP juga berulang kali menyeru supaya FAMA mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini tetapi seruan kami tidak didengari,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette