Gambar hiasan

PETALING JAYA – Gerakan menyatakan tidak mungkin untuknya kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) walaupun pakatan politik itu berjaya menang dengan gaya cantik dalam pilihan raya negeri di Melaka.

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, Gerakan memilih untuk keluar BN pada tiga tahun lalu kerana gagal melihat peranan yang boleh dimainkan parti itu dalam BN.

Katanya, walaupun Gerakan pulang dengan tangan kosong sementara BN berjaya mencipta kemenangan di Melaka, orang ramai akan dapat melihat prinsip Gerakan dalam memperjuangkan integriti suatu hari nanti.

Ditanya peranan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) pula, Dominic berkata, manifesto dan hala tuju PN adalah dibuat berdasarkan perbincangan semua parti.

“Sekurang-kurangnya suara Gerakan telah didengar, tetapi kami gagal menyampaikan mesej kami kepada pengundi dalam masa yang terlalu singkat ketika menyertai pilihan raya negeri di Melaka,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, salah satu cabaran Gerakan dan PN adalah sesetengah pengundi tidak dapat membezakan antara BN dan PN.

Katanya, Gerakan akan melakukan mesyuarat post mortem untuk mengenal pasti kelemahan yang ada.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, kejayaan BN untuk menang di Melaka dan keupayaan MCA untuk “memecah telur” membuktikan model kemajmukan BN sesuai dengan kepentingan negara dan rakyat.

Katanya kepada Sinchew Daily, kejayaan MCA di dua kerusi memberi motivasi kepada parti untuk mendepani pertarungan-pertarungan akan datang.

Beliau berkata, pilihan raya di Melaka turut menyaksikan perubahan mentaliti UMNO yang bertukar daripada mengutamakan perpaduan besar Melayu sejak Pilihan Raya Umum 2018 kepada model kemajmukan.

Menurutnya, UMNO juga menyedari kepentingan untuk merangkumi Cina, India dan Borneo.

Sin Woon bagaimanapun juga mengakui hakikat bahawa MCA tidak setanding DAP dalam kawasan majoriti Cina.

“Walau bagaimanapun, DAP juga berdepan kemelut sendiri kerana mereka hanya boleh menang di kawasan tumpuan kaum Cina,” katanya. – MalaysiaGazette