Chong Fat Full
 KOTA ISKANDAR – Selain peningkatan kos penternakan ayam dan harga dedak yang meningkat, kenaikan harga ayam dipasaran dikesan berlaku ekoran pembukaan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara ( PPN).
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan,Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full berkata, permintaan tinggi terhadap ayam menjadikan penternak tidak bersedia.
Harga makanan asas itu dijangka kembali stabil dalam masa terdekat.
“Situasi ini menyebabkan permintaan meningkat dan menyebabkan harga barangan seperti ayam juga turut meningkat, di mana penternak tidak boleh menjangkakan pembukaan fasa-fasa ini.
”Justeru, apabila berlaku permintaan tinggi terhadap ayam pada masa kini, penternak memerlukan masa menyediakan ayam dan ini akan mengambil masa untuk bekalan ayam menjadi stabil di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Faizul Amri Adnan (PKR-Serom) pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14,  di sini, hari ini.
Pada ketika imi, harga ayam di Johor sekitar RM9.10 sehingga RM10.10 sekilogram.
Harga itu dikatakan meningkat hingga RM10 sekilogram.
Beliau berkata, penutupan beberapa sektor ekonomi sebelum ini menjejaskan permintaan dan bekalan barangan termasuk barangan makanan.
“Sejak kebanyakan sektor ekonomi mula dibuka bulan lalu, harga barangan keperluan terutama ayam dikesan naik berikutan kesan sementara permintaan-bekalan yang masih belum stabil atau pulih.
“Peningkatan harga ayam kebelakangan ini contohnya berpunca daripada kos penternakan ayam dan permintaan yang tinggi.
“Ia susulan banyak negeri terutama Johor sudah beralih ke Fasa 4 PPN bulan lalu yang mendorong kepada peningkatan permintaan.
“Apabila permintaan naik dan bekalan barangan kurang, sudah tentu harga keperluan termasuk ayam akan naik mendadak,” katanya.
Faizul bertanya mengenai kenaikan mendadak barangan keperluan termasuk makanan kebelakangan ini yang menjejaskan golongan memerlukan di negeri ini.
Sementara itu, Fat Full yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis berkata, kerajaan sudah mengambil tindakan termasuk meguatkuasakan harga siling.
Malah penguatkuasa turut digerakkan untuk memantau harga barangan supaya ia tidak dijual melebihi harga siling.
Bagaimanapun katanya, bagi harga barangan yang tidak dikawal, ia tertakluk kepada faktor permintaan dan bekalan.
“Selain mengawal harga barangan keperluan menerusi skim harga barangan musim perayaan dan menetapkan harga siling di luar musim perayaan, pengguna seharusnya memainkan peranan mereka bagi memastikan harga barangan akhirnya terkawal,” katanya.
Ia termasuk menjadi pengguna bijak dengan membeli barangan keperluan yang dijual pada harga lebih murah berbanding membeli barangan pada harga mahal.
“Saya kerap turun padang memeriksa harga barangan dan mendapati harga barangan keperluan terutama makanan dijual di pasar raya dijual pada harga lebih rendah berbanding harga siling.
“Pengguna dinasihatkan memuat turun aplilasi perbandingan harga bagi mengenal pasti lokasi barangan keperluan yang dijual pada harga lebih rendah supaya pilihan terbaik dapat dilakukan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast