Bot serangan IRGC. Foto: Facebook

TEHRAN – Pegawai atasan tentera laut Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa seramai sembilan anggotanya terkorban dalam pertempuran dengan tentera laut Amerika Syarikat (AS), insiden kematian berikutan konfrantasi antara dua tentera laut yang jarang dilapor media.

Laksamana Alireza Tangsiri dalam ucapannya di bekas kompleks kedutaan AS berkata, berlaku beberapa pertempuran antara unit tentera laut Iran dengan AS namun ia tidak dilaporkan, lapor The Marinetime Executive.

“Kami telah memukul Amerika dengan anggota tentera laut IRGC yang terkorban dalam pertempuran secara langsung dengan AS di Teluk Parsi, walaupun kebanyakan laporan pertempuran Iran-AS di Teluk parsi tidak didedahkan.

“Daripada sembilan yang terkorban dalam pertembungan dengan AS, kami berupaya memberi sembilan pukulan yang akan diingati mereka” katanya kepada Tehran Times.

Sebelum ini, tentera laut AS sering kali melaporkan pasukannya diserang bot IRGC di Selat Hormuz, termasuk insiden kapal perang AS melepaskan flare dan tembakan amaran bagi mengelak didekati unit itu.

Kedua-dua belah pihak tidak pernah melaporkan kematian dalam konfrantasi peringkat rendah, namun tenetra laut AS memberi amaran kepada IRGC tentang akibat yang bakal diterima untuk tindakan ‘berbahaya dan tidak profesional’ di perairan itu.

Pada 24 Oktober lalu kapal pemusnah milik tentera laut AS mendekati sebuah kapal tangki minyak yang dinaiki anggota IRGC di Teluk parsi, namun insiden itu dipertikaikan.

Bagaimanapun selepas itu Iran dengan bantuan bot serangan IRGC merampas dan menukar haluan sebuah kapal tangki milik Vietnam.

Jabatan Pertahanan AS berkata, ia memantau insiden tersebut tetapi tidak campur tangan.

Konfrantasi besar terakhir antara Iran dan AS berlaku pada 1988 apabila tentera laut AS menenggelamkan kapal pemusnah Iran, Sahand dan empat kapal yang lebih kecil.

Serangan tindakan balas tersebut dilakukan kerana Iran menggunakan periuk api di Teluk Parsi yang mana ia telah merosakkan kapal USS Samuel B Roberts dalam misi mengiring empat hari sebelum itu. – Agensi