Hasni Mohamad

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat antara Malaysia dengan Singapura bakal mencetuskan semula kebangkitan ekonomi pasca Covid-19, khususnya di negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang gembira dengan pengumuman tersebut berkata, beliau percaya pelaksanaan VTL ini pastinya melegakan rakyat kedua-dua negara selepas penutupan pintu sempadan hampir 20 bulan.

Katanya, memandangkan Johor jiran terdekat Singapura, sudah pasti kehadiran pengembara dari negara jiran mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi negara.

Apatah lagi Singapura merupakan pelabur terbesar di Johor.

“Pelaksanaan VTL darat dan udara ini akan membawa sinar bahagia kepada rakyat kedua-dua negara untuk menyambung dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang terputus ketika pandemik Covid-19.

“Menerusi pelaksanaan VTL ini, suami dan isteri dapat berjumpa semula dengan keluarga tersayang, anak-anak dapat kembali ke pangkuan ibu bapa dan rakyat kedua-dua negara boleh mengunjungi saudara mara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Paling penting, kata Hasni, penantian ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk kembali ke tanah air sudah berakhir.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam negara mengalu-alukan pelaksanaan VTL, kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi negeri dan Persekutian tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kesihatan awam. – MalaysiaGazette