Malaysia and Singapura have agreed to set a daily quota of not exceeding 1,500 travellers for its initial land vaccinated travel lane (VTL) that would begin on 29 November. land VTL air VTL

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) laluan darat yang bermula 29 November ini.

Jumlah itu akan dinaikkan dari minggu ke minggu, kata Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Pelancaran VTL laluan darat ini selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Kedua-dua negara mencapai lebih daripada 95 peratus kadar populasi dewasa yang telah divaksin, sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

Menurut beliau, selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang telah terpisah dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Ismail Sabri berkata, pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

Pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

”Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada masa ini, VTLLand akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura.

Menurut beliau lagi, kerajaan kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan, dengan peningkatan dari minggu ke minggu.

Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal. Pendaftaran ini adalah wajib sebelum sebarang pembelian tiket dibuat.

Butiran tentang keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/ telah mencapai lebih daripada 95 peratus kadar populasi dewasa yang telah divaksin.

Pencapaian ini memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan, ujar Ismail Sabri. – MalaysiaGazette