Pegawai dari Malaysia dan Singapura melaksanakan latihan (dry run) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU- Latihan ujian proses (dry run) bagi pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura yang dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini selesai dilakukan petang semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pembukaan sempadan itu amat dinanti-nantikan rakyat kedua-dua negara.

“Pegawai dari Malaysia dan Singapura sedang melaksanakan ‘dry run’ bagi cadangan pembukaan VTL melalui Tambak Johor hari ini (semalam),” katanya menerusi akaun Twitter.

Pada Ahad lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, mengumumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Pegawai dari Malaysia dan Singapura melaksanakan latihan proses ujian pelaksaan Laluan Perjalanan Vaksinasi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Hasni memberitahu, menerusi VTL darat, Johor bersedia menerima masuk 1,440 individu pada minggu dan kerajaan negeri telah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada kerajaan persekutuan bagi pelaksanaannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini, pada 29 November ini, bagi meninjau VTL darat itu. – MalaysiaGazette