Saturday, December 14, 2024
Home Nasional Pertukaran guru bergantung kekosongan, keperluan daerah, tempoh berkhidmat

Pertukaran guru bergantung kekosongan, keperluan daerah, tempoh berkhidmat

Mah Hang Soon
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memberi kelulusan pertukaran guru dengan menjadikan prinsip asas kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sesebuah negeri atau daerah selain tempoh perkhidmatan.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mah Hang Soon berkata, faktor lain yang turut dipertimbang termasuk guru yang mengajar mata pelajaran khusus atau yang memerlukan kelayakan khas.
“Pertimbangan kelulusan bagi permohonan pertukaran ke negeri yang dimohon adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen.
“Ia berbeza dengan permohonan yang sama ke negeri yang ada kekosongan perjawatan seperti di negeri Johor, Selangor dan Kuala Lumpur di mana permohonan tersebut dapat dipertimbangkan kelulusannya,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang ingin tahu faktor yang mempengaruhi kelulusan pemindahan seseorang guru.
Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, KPM telah melaksanakan beberapa penambahbaikan selain komited memastikan kebajikan guru diberi keutamaan tanpa menjejaskan kepentingan perkhidmatan pendidikan.
“Keutamaan pertimbangan kelulusan pertukaran adalah kepada PPP (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan) yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun di negeri semasa bagi negeri-negeri di Semenanjung atau sekurang-kurangnya tiga tahun di negeri semasa bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sekiranya tiada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen bagi permohonan pertukaran PPP ke negeri yang dimohon, pertimbangan pertukaran akan diberikan kepada negeri pilihan kedua atau ketiga pemohon serta kepada negeri yang berdekatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast