Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Tindakan polis menyiasat Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan saja menafikan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen yang mana ia membabitkan peranan Speaker Dewan Rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu yang meminta kes tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan untuk tindakan lanjut menyifatkan langkah diambil polis adalah perkara yang berbahaya kepada Parlimen.

“Kalau pun ada masalah, itu harus dibangkit kerajaan dan rujuk jawatankuasa untuk ambil tindakan. Tetapi untuk menghalang dan memberi ugutan kepada Ahli Parlimen beri pandangan seperti berlaku kepada YB Sepanggar sekali lagi mencipta bahaya kepada Dewan ini.

“Lagi pun kerajaan ada kaedah dan cara mana-mana kepada Ahli Parlimen yang pernah berlaku kepada saya.

“Maknanya tidak guna penguat kuasa luar Parlimen dan apa yang saya teks Sepanggar itu tidak ada yang menyentuh isu sensitif dan adalah penafsiran longgar.

“Saya meminta Speaker campur tangan menyatakan ini ruang Parlimen dan tidak perlu pembabitan orang luar,” katanya ketika membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab lisan, di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Azis mengesahkan beliau dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan susulan tindakannya menyentuh mengenai MA63 ketika membahaskan Belanjawan 2022, baru-baru ini.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menyelesaikan isu itu dan berpendapat tindakan polis bertentangan dengan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen untuk berbahas di Dewan Rakyat.

Jelasnya, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan Perkara 36 (10) mengenai ucapan Ahli Parlimen yang tidak dibenarkan menyentuh perkara termaktub dalam Akta Hasutan dan berkaitan ucapan yang membangkitkan derhaka dan perasaan menentang kerajaan.

“Saya menyebut ini kerana semalam, Ahli Parlimen Sepanggar disiasat polis berkaitan ucapan dalam Parlimen, sedangkan ucapan itu tidak dibantah dan Yang Dipertua sendiri tidak membantah. Mengapa hak dan keistimewaan Ahli Parlimen berucap sekarang diremehkan dan dihina dengan satu siasatan polis?

“Kami Ahli Parlimen pembangkang membantah tindakan polis ini yang seolah-olah menggertak dan mengambil tindakan ala-politik.

“Ini jelas mengancam kebebasan dan peranan Ahli Parlimen pembangkang dan Speaker perlu membuat peraturan polis kena rujuk Yang Dipertua sebelum membuat siasatan,” katanya yang merupakan Setiausaha Agung DAP.

Dalam pada itu, Azhar Azizan memberitahu, beliau akan memperhalusi hansard ucapan Ahli Parlimen Sepanggar dan mengambil serius isu berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan akan berhubung dengan polis berkenaan isu itu tersebut.

Sementara itu, Azhar Azizan memberi ruang kepada Mohd. Azis menjelaskan apa yang berlaku berhubung isu berkenaan.

Mohd Azis menjelaskan, apa yang beliau bangkitkan dalam perbahasan itu ialah menyampaikan perkara dibimbangi rakyat Sabah seperti ditulis dalam media sosial mengenai desakan negeri itu perlu meninggalkan Malaysia.

“Saya hanya menyampaikan kebimbangan daripada desakan orang ramai dalam media sosial,” ujarnya. – MalaysiaGazette