Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

PUTRAJAYA – Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pengurusan pandemik Covid-19 terlebih dahulu walaupun ramai mahu Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, biarpun momentun Barisan Nasional (BN) kini memuncak berikutan kemenagan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini namun gabungan parti politik itu perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu demi kepentingan rakyat.

“Kita tidak perlu tergesa-gesa, kita ada masa dan bincang dahulu dengan cara yang terbaik untuk mendapatkan pandangan yang tepat.

“Bila kita sudah mendapat satu pandangan yang tepat dan kita rasa pada waktu itu perlu untuk mengadakan PRU15, kita buatlah. Saya rasa kita ada waktu untuk kita bincang,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, di sini, hari ini.

Mahdzir berkata demikian bagi mengulas kenyataan pucuk pimpinan UMNO antaranya Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Mohamad berkata, cadangan itu telah disuarakan selepas mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.

Malah perkara itu difikirkan wajar selepas BN menang besar pada PRN dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Sabtu lalu.

Menurut Mahdzir, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan rakyat yang akan keluar mengundi pada PRU-15.

“Kita kira yang pertama sekarang ini masyarakat di luar sana, bukan kira atas parti, sebab mereka yang akan keluar mengundi.

“Mereka melihat kerajaan ini serius untuk melandaikan lagi kes Covid-19, rakyat nak tengok kes menurun jadi biarlah nampak (kes menurun).

“Keduanya pemulihan ekonomi sebab pengusaha kecil, pengilang, pekerja persendirian dan golongan profesional yang terjejas dengan pandemik nak memulakan kehidupan.

“Bila pandemik ini landai, orang semua nak kerja balik dan nak mulakan perniagaan. Sewajarnya ini diberikan keutamaan dan sekiranya suasana sudah sedia, dan pandemik pun dah landai, ekonomi pun sudah semakin pulih, waktu itu kita nak PRU itulah waktu yang sesuai,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast