KUALA LUMPUR – Turkish Aerospace membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuk baharunya di Malaysia.

Pejabat yang terletak di Cyberview itu merupakan pejabat kejuruteraan dan reka bentuk pertama syarikat di Asia Tenggara.

Turkish Aerospace berkata, ia komited dengan pelaburan dan kerjasama di Malatsia bagi pembangunan teknologi generasi baharu, khususnya dalam bidang industri pertahanan dan penerbangan.

Sebagai salah satu syarikat terkemuka dalam industri penerbangan global, ia telah meluaskan jangkauannya dengan menubuhkan lebih daripada 10 pejabat teknologi di seluruh dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan pembukaan pejabat itu berkata, pembukaan pejabat ini di Malaysia membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dalam kepakaran bagi memanfaat
industri aeroangkasa Turki dan Malaysia.

”Turki antara negara paling pesat membangun sektor pertahanan dan aeroangkasa di dunia dan telah mencapai banyak kejayaan pertama untuk dunia Islam,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Turkish Aerospace, Prof. Temel Kotil berkata, syarikat ini akan melaksanakan kajian penting untuk Malaysia dan Turki membangunkan projek bersama dalam bidang penerbangan, angkasa dan pertahanan.

Sehingga Jun 2021, sejumlah 13 projek pembuatan dengan penyertaan Turki telah telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM510.4 juta. – MalaysiaGazette