Kajang Hulu Langat tahfiz centre madrasah bully bullies Mohd Zaid Hassan
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette / 28 JUNE 2021. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Lima lelaki berusia lingkungan antara 14 hingga 24 tahun ditahan kerana dipercayai membuli dua beradik di sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat.

Insiden yang menimpa dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 12 tahun itu terbongkar selepas bapa saudara kedua-dua pelajar itu terlihat kesan kecederaan pada badan dan muka mereka sebelum bertindak membuat laporan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada jam 6.19 pagi, Isnin lalu daripada seorang lelaki mengenai kes buli, pukul membabitkan kedua-dua anak saudaranya yang merupakan pelajar tahun kedua di madrasah itu .

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa telah mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar senior.

“Kejadian raging itu telah berlaku selama beberapa bulan dan mangsa dipukul tanpa pengetahuan pihak pengurusan pusat madrasah tersebut.

“Lebih menyedihkan kedua-dua mangsa juga diugut supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa (termasuk madrasah),” katanya dalam satu kenyataan malam ini

Bertindak atas laporan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menangkap lima suspek tersebut.

Kesemua suspek berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Kajang semalam dan dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

“Kedua-dua mangsa sudah dirujuk ke hospital dan doktor mengesahkan seorang mangsa mengalami kecederaan pendarahan di mata kiri manakala seorang lagi perlu menjalani pemeriksaan lanjut.

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette