Stadium baharu di Kemboja siap sepenuhnya sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2023.

KUALA LUMPUR – Federasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) mengesahkan saingan Piala AFF bawah 23 tahun (B-23)  diadakan di Kemboja pada bulan Februari depan.

Berita itu diumumkan oleh Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth selepas melantik SPORTFIVE sebagai rakan kongsi yang akan menyelia semua hak komersial dan media, termasuk dalam penglibatan penajaan pertandingan itu.

Kejohanan itu juga merupakan medan terbaik untuk skuad negara menguji kemampuan pemain sebagai persiapan menghadapi Piala Asia B-23 anjuran AFC di Uzbekistan pada bulan Jun depan.

“Kami berbesar hati untuk menganjurkan Kejohanan AFF B23 di Kemboja pada 2022 dan berterima kasih kepada AFF atas kepercayaan yang diberikan untuk menganjurkan acara tersebut dengan jayanya.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kejohanan berlangsung dengan selamat untuk semua pasukan yang terlibat dan berharap dapat menjadi penganjur terbaik pada tahun depan,” kata Presiden Kemboja FA, Sao Sokha.

Kemboja kali ini menawarkan stadium baharu yang lebih moden untuk menganjurkan semua perlawanan Piala AFF B-23.

Stadium ini baru siap sepenuhnya sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2023.

Mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 60,000, stadium ini dibuka secara rasmi pada Mei lalu. – MalaysiaGazette