Ketua Polis Perak Komisioner Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Seorang lelaki maut dipercayai akibat dicekik semasa bergelut dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby, Jalan Asman Shah Sungai Senam, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian bermula apabila seorang peniaga lelaki berusia 34 tahun mencari Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, di gerai berkenaan pada kira-kira pukul 7 pagi kerana dikatakan telah mencuri ‘portable speaker‘ miliknya.

Beliau berkata, kira-kira dua jam selepas itu berlaku pergelutan antara Muhammad Noor bersama peniaga berkenaan, sebelum pergaduhan disertai dua lagi lelaki berusia 47 dan 60 tahun, yang akhirnya membawa kepada kematian Muhammad Noor.

“Polis menahan ketiga-tiga suspek bagi membantu siasatan dan merampas sebilah pisau lipat di tempat kejadian,” katanya pada sidang media Program Profil Kepolisan Tinggi (HPP) sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersil Tahun 2021 di sebuah pusat membeli belah, di sini, hari ini.

Katanya, si mati juga di katakan agak kurang siuman kerana pada sehari sebelum kejadian dia dilihat menari-nari di hadapan kedai tempat kejadian dan memasang speaker dengan kuat hingga hampir berlaku pergaduhan.

Mior Faridalathrash berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu seorang jiran yang enggan dikenali ketika ditemui di lokasi berkata, kejadian berlaku ketika ramai sedang membeli sarapan di kawasan berhampiran kira-kira pukul 9 pagi, dan ramai dilihat cuba meleraikan pergaduhan, namun gagal. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here