Gambar Hiasan

KAJANG – Lima pelajar senior sebuah pusat tahfiz yang ditangkap kerana disyaki membuli dua beradik di madrasah pusat tahfiz, di sini, pada Isnin lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut sumber, kelima-lima suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan kes.

“Kita tidak akan sambung reman ke atas kelima-lima suspek berkenaan tetapi kita telah selesai mengambil keterangan daripada mereka.

“Oleh kerana faktor usia mereka masih tergolong sebagai kanak-kanak, kita membebaskan kesemua suspek dengan jaminan polis pagi tadi (Khamis),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sementara itu kertas siasatan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan kejadian buli tersebut berlaku di pusat tahfiz di Hulu Langat.

Insiden yang menimpa kedua-dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 12 tahun itu terbongkar selepas bapa saudara kedua-dua pelajar tersebut terlihat kesan kecederaan pada badan dan muka mereka sebelum membuat laporan polis.

Kata Mohd Zaid, berdasarkan siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa telah mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar senior dan kejadian dipercayai telah berlanjutan selama beberapa bulan. – MalaysiaGazette