Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di tepi jalan berhampiran bulatan Taman Seraya, Ampang dekat sini kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di tepi jalan berhampiran bulatan Taman Seraya, Ampang dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu, pengadu yang juga seorang kontraktor pendawaian bersama anaknya sedang menaiki sebuah lori ke tempat kerja.

Menurutnya, dalam perjalanan telah berlaku kejadian perselisihan faham di antara pengadu dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

“Pengadu berusia 48 tahun itu telah bertindak menyekat Perodua Myvi itu dan mengarahkan mereka untuk berhenti sehingga berlakunya pertengkaran dan pergelutan.

“Semasa kejadian, kedua-dua pihak didapati memegang payung dan gergaji sebagai senjata.

“Dalam masa sama turut tular di laman Facebook video-video berkaitan kejadian pergaduhan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad Farouk, hasil siasatan yang dijalankan punca kejadian dipercayai akibat salah faham dalam menggunakan jalan raya dan kurangnya sikap bertolak ansur.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekitar pukul 7.30 malam semalam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang telah berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 16 hingga 48 tahun di Taman Bukit Teratai dan Taman Pandan Mewah.

“Turut dirampas adalah sebuah lori dan kereta termasuk senjata-senjata yang digunakan ketika kejadian.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua tangkapan negatif dadah namun semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Menurut Mohamad Farouk, kesemua tangkapan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“IPD Ampang Jaya ingin menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran serta menggugat kenteraman awam.

“Polis juga memohon mana-mana saksi yang berada di tempat kejadian untuk hadir dan memberi keterangan bagi membantu siasatan dan sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Asri Bin Ismail di talian 010-4068158 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette