Syed Saddiq Syed Abdul Rahman CBT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibenarkan untuk memindahkan kes pertuduhan pecah amanah jenayah dan bersubahat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.12 juta ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Kesnya sebelum itu berjalan di Mahkamah Sesyen dan beliau berdepan dengan empat kes jenayah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan tersebut atas alasan terdapat kemungkinan timbulnya persoalan-persoalan berkaitan Perlembagaan.

“Saya yakin ada kemungkinan soalan di luar kebiasaan berkenaan undang-undang akan dibangkitkan dan wajar untuk tujuan keadilan agar kes pemohon dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Oleh yang demikian, saya benarkan pemohonan ini,” katanya ketika prosiding hari ini di hadapan peguam mewakili tertuduh, Gobind Singh Deo dan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sebelum ini pada 19 Ogos lalu, Syed Saddiq memohon kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan terdapat isu Perlembagaan yang akan dibangkitkan dalam kes itu yang hanya boleh diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalahgunakan dana parti itu bernilai RM1.12 juta.

Bekas Ketua Armada itu didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap dana Armada dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Syed Saddiq juga didakwa atas tuduhan penyalahgunaan wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14  sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Pada 5 Ogos lalu, Syed Saddiq telah berdepan dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 yang dikatakan hasil wang haram dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya. -MalaysiaGazette