Melalui rakaman video yang tular di media sosial menyaksikan kawalan yang lemah daripada pihak berkuasa sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hari ini telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) dan badan pengendali Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL).

Menurut satu kenyataan , TFC sebagai tuan rumah dan MFL sebagai penganjur perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2021 menentang JDT pada 22 November lalu didapati gagal memastikan setiap penyokong mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)  yang telah ditetapkan oleh kerajaan ketika berada dalam Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selain itu, tiada penjarakan fizikal di antara tempat duduk penyokong diamalkan dan ada juga penyokong yang gagal memakai pelitup muka dengan betul.

“Pihak penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong (penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna) semasa perlawanan berlangsung.

“Justeru itu, dua kompaun telah dikeluarkan iaitu satu kepada Terengganu Football Club (TFC) selaku tuan rumah dan satu lagi kepada Malaysia Football League (MFL) selaku penganjur dengan nilai RM10,000 dibawah Peraturan 16 P.U (A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong.

Ketika perlawanan itu, beberapa penyokong Terengganu didapati telah memanjat pagar untuk masuk ke dalam stadium tanpa tiket yang sah.

Malah, melalui rakaman video yang tular di media sosial menyaksikan kawalan yang lemah daripada pihak berkuasa sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. – MalaysiaGazette