30 orang termasuk seorang gadis remaja berusia 13 tahun cedera jari kakinya akibat diserang oleh sekumpulan ikan Piranha semasa bermandi manda di sungai di Santa Fe Argentina. Gambar CEN Metro.co.uk

BUENOS AIRES – Seorang gadis remaja 13 tahun telah kehilangan jari kakinya dalam insiden kira-kira 30 orang yang berenang di sungai telah diserang sekumpulan ikan piranha di Argentina.

Pasukan penyelamat terpaksa merawat puluhan orang berikutan kejadian ngeri itu di Sungai Parana di Santa Fe pada Ahad lalu.

Rakaman insiden yang agak mencemaskan itu menunjukkan seorang daripadanya cedera dengan darah menitis akibat luka di kakinya menerima balutan

Remaja perempuan itu yang telah kehilangan jari kakinya telah dirawat di hospital.

Piranha jenis Palometas telah dikaitkan dalam kejadian di kawasan yang dikenali dengan nama Laguna Setubal.

Pakar menyimpulkan serangan itu langsung tidak dijangka pihaknya dan menyalahkan faktor perubahan cuaca dan paras air yang rendah sebagai punca kepada tragedi itu.

Sebelum ini para perenang pernah dilarang memasuki air di sungai terbabit kerana wujud bahaya serangan ikan berbahaya itu.

Wakil kesatuan pasukan penyelamat, Sergio Berardi bagaimanapun tidak mampu memaksa orang awam untuk memasuki kawasan berkenaan.

“Sekarang kami sudah melihat kesannya yang agak teruk sebegini daripada piranha. Selepas seorang dua mula digigit, kami segera mengarahkan orang yang berada di dalam sungai naik ke darat segera tetapi tidak sempat kerana bilangan pengunjung yang begitu ramai.

“Kumpulan ikan piranha bergerak secara berkumpulan menyebabkan masalah ini berlaku,” katanya.

Pada 2013,  seramai 60 orang tercedera selepas diserang sekumpulan besar ikan piranha di sungai yang sama yang mengakibatkan budak berusia tujuh tahun kehilangan jari tangan.-Metro.co.uk