Lelaki berusia 25 tahun jadi mangsa samun dan kenderaan dilarikan dua penjenayah dalam kejadian di Jalan Besar Kepong malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki menjadi mangsa samun ketika memandu berseorangan di jalan gelap tepi jalan kawasan Taman Bukit Maluri, Kepong malam tadi.

Beliau menjadi mangsa samun dan kenderaannya dilairkan dua penjenayah.

Kedua-dua penjenayah melanggar kereta miliknya sebelum melarikan keretanya, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurutnya, polis menerima aduan pengadu yang merupakan bapa kepada mangsa pada pukul 11.28 malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa berumur 25 tahun memandu kereta jenis Mitsubishi ASX sebelum didatangi sebuah kenderaan lain dari arah belakang.

“Siasatan polis mendapati kereta dinaiki dua suspek kemudiannya bertindak melanggar kereta mangsa sebelum mangsa kemudiannya memberhentikan kereta di tepi jalan dan keluar dari kereta untuk melihat kerosakan yang dialami keretanya.

“Namun salah seorang dari suspek turun dari kenderaan dan telah bertindak menghampiri mangsa dan menumbuk mata kiri dan juga kepala mangsa sebanyak dua kali menyebabkan mangsa terjatuh atas jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, ekoran dipukul suspek, mangsa  menghubungi bapanya menggunakan telefon bimbit orang lain dan memaklumkan tentang insiden yang berlaku.

Menurutnya, sejurus selepas itu suspek bertindak melarikan kereta milik mangsa dari lokasi kejadian itu.

“Kereta milik mangsa jenis Mitsubishi Asx berwarna putih, nombor pendaftaran BNT 3666 bersama beberapa barangan peribadi milik mangsa iaitu telefon bimbit kad kredit dan kad debit bank dan lesen memandu yang tertinggal di dalam kereta tersebut turut dilarikan suspek.

“Akibat insiden itu, mangsa telah cedera di mata sebelah kiri dan bengkak di bahagian kiri kepala akibat ditumbuk suspek dan tercedera di siku akibat terjatuh di atas jalan.

“Mangsa telah dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut semasa kejadian dan telah dihantar ke Hospital Desa Park City Kepong untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Justeru tegas Eng Lai, mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek dua lelaki, pakaian mereka serta apa-apa tanda khas pada suspek kerana keadaan di tempat kejadian sangat gelap dan tiada lampu jalan serta rakaman kamera litar tertutup di lokasi insiden.

Ujar beliau, pihak polis dari pasukan D9 sedang giat mengesan suspek serta kenderaan yang telah dilarikan mereka.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian di atas boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206.-MalaysiaGazette