Carragher mendakwa Massi, Neymar dan Mbappe digelar penumpang yang hanya akan merosakkan usaha PSG menjulang gelaran Eropah musim ini.Foto Kredit Reuters

PARIS – Jamie Carragher percaya Paris Saint Germain (PSG) tidak akan menang Piala Liga Juara-Juara Eropah musim ini kerana mereka membawa bersama tiga ‘penumpang’ iaitu Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe dalam skuad.

Kelab gergasi Ligue 1 Perancis itu mara ke pusingan kalah mati sebagai Naib Juara peringkat Kumpulan A selepas tewas 2-1 kepada Manchester City pagi semalam.

Mbappe membuka jaringan awal ke atas pasukan tuan rumah selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama sebelum skuad Pep Guardiola ‘menjinakkan’ skuad Mauricio Pochettino dengan berbalas dua gol untuk mengesahkan tiga mata penuh.

Dalam aksi tersebut, Man City mendominasi perlawanan dan Neymar dan Messi bergelut untuk membawa impak dalam perlawanan itu.

Carragher yang menilai perlawanan PSG itu mengkritik secara terbuka aksi Messi dan Neymar sambil percaya bahawa tiga pemain elit itu termasuk Mbappe sebenarnya membawa pasukannya ke belakang dengan kadar progress kerja yang agak teruk.

“Saya tak dapat percaya pasukan PSG boleh membawa ‘penumpang’ seperti Messi, Neymar.

“Katakanlah salah satu daripada pasukan Man City, Liverpool, Chelsea atau Bayern Munich akan menang kejuaraan musim ini, mereka tidak membawa pemain berstatus ‘penumpang’ dalam skuad.

“Tetapi, PSG sedang membawa tiga ‘penumpang’ yang sudah pasti akan mengagalkannya untuk menjulang gelaran Liga Juara Eropah musim ini,” dakwanya.-MalaysiaGazette