MUCET 2021 telah rasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar.- Foto UTeM

KUALA LUMPUR –  Persidangan Kejuruteraan dan Teknologi Universiti-Universiti Teknikal Malaysia yang ke-12 (MUCET) 2021 yang bertaraf antarabangsa telah diadakan secara dalam talian berlangsung selama tiga hari bermula 16 November lalu.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pengerusi MUCET 2021 yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM, Prof Dr. Zahriladha Zakaria berkata, antara objektif MUCET bagi memperkasakan kerjasama penyelidikan dan penerbitan dalam kalangan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Jelasnya, program berkenaan menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan dalam kalangan penyelidik MTUN dan rangkaian industri setempat serta antarabangsa.

Menurut beliau, persidangan kali ini berjaya mengumpul peserta seramai 227 orang penyelidik.

“Menyentuh mengenai impak MUCET 2021 ini, kesemua manuskrip prosiding yang dibentangkan dalam MUCET ini akan dihantar untuk diterbitkan di Clarivate Analytics: Conference Proceeding Citation Index (CPCI).

“Sebahagian manuskrip terpilih bakal diterbitkan di jurnal berindeks Scopus untuk dijadikan rujukan pihak luar lalu dapat meningkatkan keterlihatan UTeM dan MTUN buat komuniti akademik dan industri peringkat Malaysia serta antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

MUCET 2021 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir Dr Ghazali Omar.

Ghazali berkata, penganjuran MUCET pada kali ini ternyata berjaya membuahkan hasil berimpak tinggi dalam arena penyelidikan berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta industri dunia.

Beliau berkata, MTUN telah berjaya merealisasikan peranan dan sumbangan yang dihasratkan oleh negara yang mana bukan hanya menyumbang langsung dalam negara malahan merentas sempadan dunia buat kebaikan komuniti global.

Ucaptama dalam persidangan itu menampilkan tiga figura berkaliber iaitu Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail,  Co-founder dan Ketua Pegawai Eksekutif FAVORIOT Sdn Bhd, Dr. Mazlan Abbas dan Prof Madya Ir. Dr. Cheng Tung Chong dari China-UK Low Carbon College, Shanghai Jiao Tong University.- MalaysiaGazette