Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertikai tindakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang menerima Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli baharu parti itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib menyertakan tarikh sama yang menunjukkan menteri dari Parti Bersatu didakwa mahu agar penggubalan undang-undang bagi mengharamkan ‘katak politik’ dan pada masa sama menerima Mohammadin dari parti Warisan untuk menyertai Bersatu.

“25 Nov 2021: Menteri PPBM mahu gubal undang-undang untuk haramkan katak politik.

“25 Nov 2021: PPBM terima katak politik Mohammadin Ketapi dari Warisan. Cam mana ni?” soalnya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan turut memuatnaik muka depan laporan Kaji Selidik Awam Mengenai Undang-Undang Anti Lompat Parti yang pernah dikongsikan bekas calon Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan, Mohammadin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama sah diterima menyertai Bersatu.

Katanya, Mohammadin dijangka mampu memperkukuhkan Bersatu di Sabah.

Malah beliau berkata, ia juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang diwakili oleh Mohammadin.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji undang-undang yang digunakan di peringkat negeri termasuk kes mahkamah yang melibatkan pelaksanaan perundangan berkaitan lompat parti.

Model perundangan beberapa buah negara termasuk India, Singapura, New Zealand dan United Kingdom turut diteliti.

Dapatan kajian akan dibincangkan dalam sesi libat urus bipartisan.

Beliau turut dilapor berkata, perkara itu hanya dapat dimuktamadkan sebaik kajian dan libat urus selesai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penyertaan Mohammadin Ketapi perkukuh Bersatu Sabah – Hamzah

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here