Mohammadin Ketapi

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah menerima permohonan dan memperakui Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli baharu parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kemasukan Mohammadin selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu dijangka mampu memperkukuhkan Bersatu di Sabah.

“Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ianya bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

“Malahan ianya juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Hamzah juga berkata, MPT Bersatu juga memutuskan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-5 pada di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya pada 18 hingga 19 Disember ini.

“PAT Bersatu kali ke-5 itu bakal dihadiri 1,600 perwakilan daripada seluruh negara secara fizikal.

“Selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 November sehingga 28 November 2021,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lepas tu Mas Ermiyanti nak buat Undang2 Anti Lompat? Hadooiii…lagi lah kuat imej ko sebagai parti katak…buat rakyat benci!

Comments are closed.