pahang memenangi anugerah dalam empat kategori dipertandingkan dalam Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2021

KUANTAN – Pahang memecah rekod apabila memenangi anugerah dalam empat kategori dipertandingkan dalam Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kemenangan  itu simbol kejayaan buat semua pendakwah dan masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Menurutnya, simposium tersebut telah dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam.

“Empat anugerah dimenangi iaitu Surau Kampung Orang Asli Terbaik, Surau Diri Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik, Tokoh Kepimpinan Masyarakat Orang Asli dan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Qudwah Kebangsaan.

“Anugerah Surau Kampung Orang Asli Terbaik dimenangi Surau KOA (Kampung Orang Asli) Sungai Dua, Ulu Bentong dan Surau Diri Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik dimenangi oleh SKJ KOA Leryar Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berbangga dengan kejayaan masyarakat Orang Asli dan turut merakamkan ucapan tahniah menerusi Facebook rasminya.

Tambah Syed Ibrahim, Anugerah Tokoh Kepimpinan Masyarakat Orang Asli dinobatkan kepada Batin Fendi Yunus iaitu Batin KOA Penderas, Temerloh dan Anugerah PMOA Qudwah Kebangsaan diberikan kepada Ustaz Abu Yazid dari PMOA KOA Sungai Mas, Kuantan.

Justeru beliau berharap kejayaan itu menjadi motivasi kepada semua warga dakwah di negeri ini untuk menjalankan tugas dan amanah lebih cemerlang pada masa depan. – MalaysiaGazette