Lambang roket DAP

KUALA LUMPUR – DAP Sarawak hari ini lebih awal mengumumkan 18 calon daripada 26 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

Manakala yang bakinya akan di rahsiakan dan hanya diumumkan kemudian atas dasar strategi.

 Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pemilihan calon berdasarkan gabungan muka lama dan muka baharu.

“Daripada 26 calon DAP, kali ini kita ada 11 muka baharu. Daripada lapan kerusi yang kita belum umum, enam kerusi Kuching manakala dua lagi di Sibu.

“Lapan kerusi – enam adalah di Kuching iaitu Pending, Padungan, Kota Sentosa, Batu Kawah, Batu Kitang dan Stakan. Ini adalah strategik, kita umum kemudian,” katanya menyampaikan watikah pelantikan calon DAP di Ibu Pejabat DAP di Kuching.

Antara calon yang telah dimuktamatkan ialah Granda Aing mewakili Dun Tasik Biru, Chang Hong Siong (Mambong), Laerry (Kedup), Brolin Nicholsion Benedict Achung (Bukit Semuja), Leon Jimat Donald (Simangang), Philip Wong Pak Min (Repok) Yong Siew Wei (Meradong) dan Irene Mary Chang Oi Ling (Bukit Assek).

Manakala David Wong Kee Woan mewakili Pelawan, Solomon Kumbong (Pelagus), Joseph Jingut (Bukit Goram), Kenneth Lagong (Baleh), Tony Chiew (Tanjong Batu), John Bryan (Kemena), Tonny Ung (Samalaju, Peter Hee Leh Keng (Piasau) dan Alan Ling Sie Kiong (Pujut).

Bagi kerusi Dudong dan Bawang Assan, DAP masih terbuka untuk berunding dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi mendapatkan kata sepakat atau sebaliknya.

Dalam pada itu kata Chieng Jen, pihaknya boleh berkompromi dan masih membuka pintu untuk rundingan terakhir dengan PSB berkenaan kerusi.

“Kita akan buat penyesuaian sewajarnya kerana di kawasan-kawasan ini calon boleh berubah dan kerusi boleh ditukar, bergantung kepada lawan kita,” ujarnya.

SPR semalam telah mengumumkan ari penamaan calon bagi PRN Sarawak adalah pada 6 Disember ini.

Gabungan pemerintah iaitu GPS  yang turut dianggotai SUPP dijadual mengumumkan senarai penuh calon bagi 82 kerusi DUN pada 4 Disember. – MalaysiaGazette