Yusry Abdul Halim. foto: FAREEZ FADZIL, 18 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim  kecewa dengan syarat wajib yang diletakkan oleh stesen televisyen yang memilih seseorang pelakon berdasarkan jumlah pengikut di media sosial.

Menerusi akaun Twitter miliknya, beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan syarat tersebut dan memberikan pandangannya tersendiri.

“Apa kriteria untuk pelakon drama TV? Jumlah pengikut? Pempengaruh? Tahun 2021, saya cadang kepada penerbit untuk tukar pelakon utama sebab tak boleh bawa watak selepas tiga hari memulakan kerja penggambaran. Mulakan semula penggambaran!

“Tetapi, penyiar tetap mahu ‘pelakon’ itu. Saya pula yang ditukar. Situasi drama televisyen tempatan adalah angkara penyiar itu sendiri!” tulisnya.

Menerusi ciapan itu, turut dilihat mentor atau orang kuat industri yang dihormati, Fatimah Abu Bakar tidak ketinggalan menyatakan persetujuan dengan kenyataan Yusry tersebut.

“Terima kasih kerana berani menyuarakan hal ini, Terima kasih kerana mencuba. Jomlah semua. Bersatu demi seni!

“Ayuhlah semua. Barisan penerbit, pengarah, pelakon, kru-kru dan ya, stesen televisyen dan korporat untuk sama-sama bekerjasama membangkitkan semula industri seni kita. Jangan kita saling bermusuh,” katanya. – MalaysiaGazette