Sebanyak 3,701 kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan di dalam negara dalam masa 24 jam  lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rekod Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga jam 12 tengah hari ini menunjukkan kes sembuh mengatasi kes baharu jangkitan Covid-19.

Mengikut laporan itu, kes sembuh mencatatkan 5,352 kes dengan jumlah kumulatif 2,522,045 atau 96.3 peratus berbanding 5,097 kes baharu dengan kumulatifnya 2,619,577 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 17 adalah kes import iaitu 14 warganegara dan tiga bukan warganegara.

Selebihnya, kata beliau, 5,080 kes adalah 4,876 atau 96 peratus melibatkan warganegara, manakala 204 lagi bukan warganegara iaitu empat peratus.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 510 kes iaitu 423 kes disahkan Covid-19; 87 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula 258 kes iaitu 171 kes disahkan Covid-19; 87 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Dr. Noor Hisham, daripada 5,097 kes harian yang dilaporkan itu, 84 kes atau 1.6 peratus adalah pesakit bagi kategori 3, 4 dan 5 manakala 5,013 kes atau 98.4 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Mengenai jumlah kluster, Dr. Noor Hisham berkata, KKM melaporkan sebanyak 5,928 kluster dengan lapan kluster baharu, 5,694 kluster yang telah tamat dan 234 kluster aktif.

Beliau turut menjelaskan mengenai perincian nilai RT mengikut negeri, selain memaklumkan maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Katanya, data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangkitan Covid-19 menurun 5,097 kes hari ini