Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2021.

PAGOH – Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika ia diadakan dalam masa terdekat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, perkara itu telah  dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ya, memang sudah ada perbincangan untuk menentukan masa yang sesuai (untuk adakan PRU-15). Perdana Menteri sudah tentu akan ikut Perlembagaan terutama membawa perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya pasti Yang diPertuan Agong akan ambil pertimbangan semasa terutama kerjasama antara parti politik yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) dalam menstabilkan politik

“Apa pun PRU-15 terletak pada budi bicara Perdana Menteri,” katanya demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh, di Dewan Serbaguna Lenga hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka contohnya, kita buat bedah siasat membaiki kelemahan jentera dan mempersipkan ahli supaya lebih kuat dan bersedia,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Pengerusi PN Melaka yang baharu bagi menggantikan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Muhyiddin berkata, ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata, beliau sudah dimaklumkan berhubung perletakan jawatan Mohd Rafiq dan menyifatkannya sebagai satu langkah terhormat.

Perkara itu jelasnya bagi membolehkan rombakan Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka dapat dibuat susulan pasca PRN Melaka baru-baru ini.-MalaysiaGazette