JSPT KL memeriksa penunggang motosikal menerusi Op Samseng Jalan dan Op Motosikal yang dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat. Gambar PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan 15 individu dengan sembilan daripadanya memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar ibu negara bermula Jumaat sehingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi terbabit dijalankan Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur dengan kekuatan seramai 10 pegawai dan 76 anggota yang membabitkan kawasan pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan P. Ramlee, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Duta – Ulu Kelang.

Menurut beliau, seramai sembilan lelaki berusia lingkungan 25 hingga 57 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis turut menahan empat remaja lelaki berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig zag, roket, superman dan bersaing antara satu sama lain.

“Kesemua tangkapan ini di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh dibawah Seksyen 42(1) 1987 APJ kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun ditahan kerana disyaki menunggang motosikal curi bersangkut dengan laporan di Jinjang.

“Lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis turut menahan empat lelaki yang menunggang dalam keadaan berbahaya menerusi operasi yang dijalankan sepanjang tiga hari bermula Jumaat. Gambar PDRM

Tambah Sarifudin, seorang penunggang motosikal berusia 23 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan kerana disyaki memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

Jelas beliau, secara keseluruhan sebanyak 550 jumlah saman telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 11 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya.

Sarifudin berkata, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette