Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan dalam sentimen berhati-hati berikutan turun naik yang meningkat, sebahagiannya disebabkan penemuan varian COVID-19 baharu di Afrika Selatan dan peningkatan kes jangkitan baharu di Eropah, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berada antara 1,500 dan 1,520 minggu depan dengan paras sokongan-halangan segera pada 1,500-1,535.

“Kami menjangka wujud aktiviti belian saham pada harga rendah minggu depan dengan tumpuan kepada kaunter sarung tangan serta minyak dan gas,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Malaysia menyaksikan Indeks Harga Pengguna (IHP) naik 2.9 peratus tahun ke tahun kepada 123.7 pada Oktober 2021 berbanding 120.2 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya berikutan kenaikan harga minyak dan penamatan diskaun elektrik pada September 2021.

IHP, ukuran inflasi, untuk bulan-bulan akan datang akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti kenaikan harga minyak mentah global dan makanan.

Secara keseluruhannya, bursa tempatan diniagakan rendah pada minggu baru berakhir berikutan kekurangan berita penggerak pasaran yang baharu.

FBM KLCI mengakhiri minggu ini pada paras terendah dalam tempoh tiga bulan pada 1,512.22 berikutan pelabur terus mengurangkan pegangan mereka dalam persekitaran sentimen yang lemah.

Seorang peniaga berkata, kumpulan pendapatan korporat baru-baru ini turut menawarkan hala tuju untuk pasaran.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks petunjuk pasaran susut 13.32 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,512.22 daripada 1,525.54 sebelum ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 166.51 mata kepada 11,079.13, Indeks FBMT100 jatuh 132.93 mata kepada 10,762.65, Indeks FBM Emas Shariah susut 187.01 mata kepada 12,040.74, FBM 70 berkurangan 328.95 mata kepada 14,454.61 manakala FBM ACE merosot 351.75 mata kepada 6,463.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 91.91 mata kepada 15,143.67, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 3.58 mata kepada 196.21 dan Indeks Tenaga jatuh 58.54 mata kepada 711.26.

Indeks Penjagaan Kesihatan naik 79.79 mata kepada 2,387.85, Indeks Perladangan merosot 140.06 mata kepada 6,465.04 manakala Indeks Teknologi berkurangan 2.0 mata kepada 98.47.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 16.90 bilion unit bernilai RM12.34 bilion daripada 15.25 bilion unit bernilai RM11.17 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 10.88 bilion saham bernilai RM10.64 bilion daripada 10.02 bilion saham bernilai RM9.54 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.63 bilion unit bernilai RM641.47 juta daripada 1.42 bilion unit bernilai RM299.53 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 4.36 bilion saham bernilai RM1.39 bilion daripada 3.78 bilion saham bernilai RM1.33 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette