Sebuah video memaparkan seorang lelaki sedang memanjat bahagian hadapan sebuah lori yang menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang videonya tular kerana mengganggu kelancaran lalu lintas dengan memanjat bahagian hadapan sebuah lori dalam keadaan bogel kini ditempatkan di Wad Psikiatrik Hospital Kajang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 50 saat yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman Facebook memaparkan seorang lelaki dalam keadaan berbogel,  semalam.

”Suspek disyaki mengalami gangguan mental dan dihantar ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, suspek masih ditempatkan di wad psikiatrik bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian tersebut didapati berlaku sekitar pukul 4.50 petang kelmarin di Jejambat Kampung Baru, Pekan Batu 14, Puchong.

“Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya menerima aduan tersebut dan petugas MPV dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal dari Balai Polis Bukit Puchong telah ke lokasi berkenaan dan membuat tangkapan ke atas suspek yang kemudiannya di bawa ke balai.

“Semasa tangkapan dijalankan, tiada sebarang butiran pengenalan diri yang dijumpai bersama suspek yang disyaki warga Bangladesh itu,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Fairus berkata, satu laporan polis juga telah dibuat dan diklasifikasikan sebagai RLA (rujuk hospital).

“Pihak polis amat mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya dengan menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette