lelaki merampas beg tangan seorang pemandu wanita semasa insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk milik suspek telah direman sehari untuk membantu siasatan polis IPD Shah Alam.Gambar Ihsan JSJ IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang ditahan polis petang semalam kerana merampas beg tangan seorang wanita dalam insiden kemalangan membabitkan kenderaannya telah direman oleh polis.

Suspek berusia 56 tahun itu telah direman selama sehari untuk membantu siasatan polis dalam kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang ditahan semalam telah dipohon perintah reman pada pagi tadi.

“Kita dapat kebenaran reman suspek selama sehari sahaja.

“Majistret Shah Alam mengambil kira faktor usianya dan suspek kena menjaga isterinya yang diserang strok yang kini berada di bawah tanggungannya,” kata beliau dalam kenyataan ringkas hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Terdahulu dalam kenyataan malam tadi, Baharudin mengesahkan suspek telah ditahan sekitar jam 6.30 petang selepas hadir untuk membuat laporan polis mengenai kemalangan tersebut.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.33 tengahari semalam di Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang menuju ke arah Kuala Lumpur.

Insiden berkenaan telah tular menerusi satu video berdurasi seminit 29 saat.

Video itu memaparkan seorang wanita yang memandu kereta jenis BMW telah terlanggar belakang kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu suspek.

“Perlanggaran yang tidak dijangka itu menyebabkan kereta lelaki itu pula terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV yang dipandu seorang wanita di hadapannya,” katanya.

Suspek kemudian turun dari kenderaannya dan berang dengan perlanggaran membabitkan keretanya Proton Gen2 itu bertindak merampas beg tangan pemilik BMW sambil meminta menyerahkan kad pengenalannya.

Pihak JSJ IPD Shah Alam telah membuka satu kertas siasatan bersabit dengan isu ini dan siasatan menjurus di bawah Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette