Sebuah kereta jenis BMW M4 milik sepasang kekasih musnah dalam kebakaran di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sepasang kekasih nyaris rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran susur keluar Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu menyebabkan pemilik kereta jenis BMW M4 tersebut mengalami kerugian lebih setengah juta ekoran kenderaannya musnah terbakar.

MalaysiaGazette difahamkan, pasangan kekasih itu dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan pusat bandar selepas menghadiri majlis keramaian di Bukit Mertajam.

Pihak bomba melakukan kerja-kerja memadam api di lokasi kejadian.

Kereta yang dipandu wanita berusia lingkungan 20-an itu dikatakan tiba-tiba berasap sebaik berada di laluan susur keluar jambatan menghala pusat bandar.

Pasangan tersebut dikatakan keluar daripada kenderaan mereka sebaik melihat asap tebal sebelum dikejutkan dengan kejadian api marak pada kereta.

Menurut saksi kejadian, Luqhman Hakim Dahlan Tabah, 24, dia yang dalam perjalanan pulang terkejut sebaik melihat api menjulang di kawasan lebuh raya terbabit.

Luqhman Hakim.

“Saya dengar suara orang menjerit api-api sebelum nampak dua orang tengah lari keluar dari arah kereta itu.

“Mujur mereka sempat keluar kalau tidak berlaku kehilangan nyawa kerana api marak dengan cepat sebelum kehadiran pihak bomba,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Isra Hanafi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.26 pagi.

Isra Hanafi.

“Lapan orang anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba kita dapati api sedang marak di sebuah kereta manakala pemandu dan penumpang sudah berjaya selamatkan diri.

“Kereta tersebut musnah 80 peratus dan pihak bomba tidak mengalami sebarang kesukaran dalam operasi pemadaman api.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.50 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” kata beliau. – MalaysiaGazette