Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, susulan perkembangan termasuk ancaman varian baharu COVID-19 serta kemungkinan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mempercepatkan langkah pengurangan aset yang hanya mengukuhkan unit negara maju tersebut.

Malah, aktiviti jualan lebih ketara dalam pasaran mata wang asing tempatan yang berterusan selama sembilan hari berturut-turut pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen sama terhadap ringgit dijangka tidak banyak berubah.

Menurutnya, data-data penting seperti Indeks Pengurusan Bekalan AS, Bayaran Gaji Bukan Perladangan dan kadar pengangguran akan terus dipantau secara teliti yang turut memberi kesan terhadap pergerakan ringgit dan dolar AS.

Pada 1 Disember ini, pihak Fed AS akan mengumumkan laporan terkini mengenai keadaan ekonomi semasa negara maju itu.

“Setakat ini, ekonomi AS berfungsi dengan baik dan berkemungkinan mendorong pegawai Fed untuk mempertimbang bagi menamatkan dasar-dasar monetari akomodatif sebagai keutamaan segera.

“Kita juga menunggu keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeskport Petroleum dan sekutunya mengenai kuota pengeluaran masing-masing, terutama dalam konteks peningkatan bekalan susulan tindakan negara utama seperti AS dan China yang mengeluarkan simpanan petroleum,” katanya.

Selain itu, terdapat laporan mengenai penemuan varian baharu COVID-19 di Afrika Selatan yang dikenali sebagai B.1.1.529.

Sehubungan itu, katanya, sebarang pergerakan ringgit dijangkakan dalam jajaran kecil.

Bagi perbandingan asas mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS daripada 4.2370/2400 kepada 4.1810/1850 pada akhir urus niaga Jumaat.

Ringgit juga rendah berbanding mata wang utama lain jika dibandingkan dengan prestasi pada Jumaat lepas.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0893/0920 daripada 3.0702/0736 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding euro kepada 4.7713/7747 daripada 4.7249/7295, sebelum ini.

Ia turut rendah berbanding yen kepada 3.7131/7160 daripada 3.6675/6714 seminggu sebelumnya dan susut berbanding pound Britain kepada 5.6403/6443 daripada 5.6147/6200 sebelum ini. – MalaysiaGazette