Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral

JOHOR BAHRU – Pihak pengurusan Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral melakukan persediaan yang rapi untuk menerima pengembara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat mulai esok.

Pengurus Bangunan Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata ia bagi memastikan pelepasan pengembara VTL darat daripada Malaysia melibatkan seramai 1,440 orang dengan 32 perjalanan sehari, berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, perjalanan bas pertama esok daripada terminal itu menuju ke Queen Street Singapura adalah pada pukul 7.30 pagi manakala bas pertama daripada republik berkenaan dijangka tiba di terminal itu pada 9.20 pagi.

“Setiap bas akan tiba dalam masa berselang antara 15 hingga 30 minit dan bas terakhir adalah pada pukul 8.30 malam, manakala bas terakhir daripada Singapura pula pada pukul 9.30 malam.

“Saya dimaklumkan tiket daripada Singapura ke Malaysia habis terjual tetapi penjualan tiket dari sini untuk minggu pertama tidak, mungkin kerana rakyat Singapura terkandas di Malaysia sedikit, tetapi kita jangka minggu kedua atau ketiga nanti kita akan kendali lebih ramai penumpang,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan persiapan terakhir di terminal itu, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan kesemua pengembara akan ditempatkan di ruang menunggu di pintu tiga dan empat terminal itu yang boleh menampung seramai 90 individu dan setiap bas boleh menempatkan seramai 45 penumpang.

Mohd Helmi berkata kesemua penumpang dinasihatkan untuk tiba satu jam lebih awal mengikut waktu pelepasan masing-masing dan perlu memastikan segala dokumen lengkap.

“Pada hari pelepasan, pihak syarikat bas akan memeriksa sama ada vaccination travel pass (VTP) mereka valid atau tidak, serta keputusan ujian COVID-19 yang dibuat dua hari sebelum berlepas dan dokumen lain,” katanya.

Sementara itu beliau berkata pengembara yang menaiki bas daripada Queen Street Singapura dan tiba ke terminal itu juga akan menjalani on arrival test (OAT) COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jika keputusan negatif COVID-19, mereka boleh terus keluar daripada terminal, namun sekiranya positif mereka akan dibawa oleh pihak KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan rakan sejawatannya di Singapura, Lee Hsien Loong, dijangka melancarkan hari pertama VTL darat, esok. – MalaysiaGazette