Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha bercakap kepada media selepas memberi keterangan susulan penyerahan Memorandum Bantahan Pelaksanaan Had Umur Belia ke 30 Tahun di IPD Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Seramai 17 wakil pimpinan Gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan penurunan had umur pemimpin dalam persatuan belia ke 30 tahun ke bawah daripada 40 tahun di Ibu Pejabat Polis, di sini, hari ini.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, bantahan tersebut bukan tanda tidak menyokong dasar pembangunan belia tetapi perlu ada perbincangan rapi sebelum dilaksanakan.

“Apa-apa sahaja keputusan mestilah dirunding, diputuskan secara harmoni dan bersama iaitu dengan Kementerian Belia (dan Sukan) dan badan-badan gabungan yang sepatutnya didengar oleh pihak YB Menteri.

“Saya ingin tegaskan kepada pihak Menteri, berikan ruang rundingan kepada badan gabungan, dengar suara mereka dulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya pada sidang media selepas penyerahan memorandum di sini, hari ini.

Tambah Jufitri, pelaksanaan itu seharusnya diberikan sedikit masa supaya proses peralihan dapat berjalan dengan lancar.

“Mereka (gabungan MBM) tidak menentang peremajaan gerakan belia, cuma mereka mengharapkan supaya diadakan rundingan dan peralihan itu diberikan sedikit tempoh masa supaya proses lebih licin,” ujarnya.

Menurut beliau, pelaksanaan yang tergesa-gesa boleh memberi kesan kepada pemegang taruh pertubuhan belia kerana tiada persiapan rapi.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pelaksanaan had umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia berkuat kuasa 1 Januari ini. – MalaysiaGazette