Sekumpulan doktor kontrak berkumpul bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu seramai 1,497 pegawai perubatan lantikan kontrak telah meletakkan jawatan sejak 2017 hingga Jun tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, peletakan jawatan itu merupakan hak yang diputuskan sendiri oleh pegawai perubatan lantikan kontrak itu atas sebab tertentu.

Seramai 110 orang pada 2017, 168 orang (2018), 475 orang (2019), 511 orang (2020) dan dari Januari ini hingga 26 November 2021 seramai 514 orang.

“Alasan peletakan jawatan yang telah dinyatakan adalah seperti berikut iaitu berkhidmat dalam sektor swasta, atas sebab-sebab peribadi, berkhidmat di badan berkanun, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berkhidmat di luar negara dan membuka klinik sendiri,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH) yang ingin tahu mengenai statistik bilangan pegawai perubatan siswazah yang meletakkan jawatan mengikut tahun dan punca peletakan jawatan itu.

Dr. Azmi juga menegaskan Kementerian (KKM) amat prihatin masa depan doktok-doktor dalam negara ini dengan mewujudkan satu jawatakuasa khas untuk meneliti isu-isu berkaitan doktor kontrak.

“Kita wujudkan jawatankuasa khas untuk meneliti perkara berkaitan doktor muda ini. Menteri (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) mengambil pendekatan serius mengenai bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dan akan meneruskan usaha supaya doktor kita dapat meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.

Sebelum ini timbul isu Gerakan Hartal Doktor Kontrak (Hartal) yang mana terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai lalu akibat kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci. – MalaysiaGazette