KUALA LUMPUR – Tiga anak legenda Singapura, Fandi Ahmad iaitu Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi menjadi taruhan dalam pasukan kebangsaan negara itu bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2002 yang bermula pada 5 Disember ini.
Selain membawa nama besar yang juga mempunyai pengalaman luas dalam saingan Piala AFF, ketua jurulatih, Tatsuma Yoshida turut membawa beberapa pemain muda serta pemain yang bakal beraksi buat kali pertama dalam kejohanan dwi tahunan itu, antaranya Harfan Rohaizad, Nur Adam Abdullah, Iqram Rifqi, Tajeli Salamat, Saifullah Akbar, Hami Syahin, Song Uiyoung serta Amy Recha, Hafiz Nor dan Shawal Anuar.
Irfan dan Ikhsan sebelum ini beraksi dalam saingan edisi 2018 ketika skuad kebangsaan itu dibimbing oleh bapanya.
Namun Singapura gagal untuk melangkah ke peringkat separuh akhir dan hanya mampu menamatkan saingan pada peringkat kumpulan B di tangga ketiga, sekali gus menyaksikan Thailand dan Filipina layak ke peringkat seterusnya.
Seperti yang diketahui ramai, Irfan dan Ikhsan terlebih dahulu mencipta nama yang mana Irfan beraksi bersama kelab Thailand, BG Pathum United yang muncul juara saingan Thai League 1 musim lalu manakala Ikhsan beraksi bersama kelab Norway, FK Jerv.
Bagi Ilhan pula, dia merupakan pemain berusia 19 tahun yang beraksi di posisi penyerang serta mampu mengisi bahagian tengah dan ketika ini beraksi bersama skuad muda Singapura iaitu Young Lions dalam saingan Liga Singapura (S-League).
Bagi saingan edisi 2020, Singapura yang juga tuan rumah diundi dalam kumpulan A bersama Thailand, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.
Kumpulan B pula diisi oleh dua finalis edisi 2018 iaitu Vietnam, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos. – MalaysiaGazette