Empat pelajar tahfiz termasuk tiga bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang bagi menghadapi pertuduhan membuli pelajar tahun dua di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2021.

KAJANG – Tiga remaja bawah umur mengaku bersalah mencederakan dua pelajar di sebuah madrasah tahfiz  Hulu Langat pada bulan lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mereka yang berusia 16 dan 17 tahun dan belajar di madrasah yang sama membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibuat di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Bagi pertuduhan itu, mereka secara bersama telah sengaja mendatangkan kecederaan ke atas dua pelajar berusia 10 dan 12 tahun pukul 7.30 petang pada 31 Oktober di bilik asrama madrasah di Hulu Langat.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala kesemua tertuduh juvana tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nurul Husna mencadangkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM1,500.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi pertuduhan itu dengan tiga orang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 29 Disember depan bagi tarikh laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.

Sementara itu, seorang lagi pelajar madrasah sama, Muhammad Muaz Zainul Abidin, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Nurul Husna mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 namun tertuduh memohon rayuan atas alasan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Muaz diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 29 Disember depan bagi sebutan semula kes.

Pada 23 November lalu, polis menahan lima pelajar senior sebuah sekolah tahfiz kerana membuli dua pelajar sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah madrasah di Hulu Langat semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada bapa saudara kedua-dua mangsa pada pukul 6.19 pagi.

“Kelima-lima suspek berusia lingkungan 14 hingga 24 tahun merupakan pelajar senior di madrasah tahfiz berkenaan.

“Suspek bertindak memukul dan membuli kedua-dua mangsa berusia 11 dan 12 tahun yang juga pelajar tahun kedua di sekolah terbabit,” katanya.

Menurut Mohd. Zaid, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang lima pelajar senior itu.

Jelasnya, aktiviti buli itu dipercayai telah berlanjutan selama beberapa bulan di mana kedua-dua mangsa telah didakwa menjadi mangsa dan diugut jika cuba memberitahu pihak madrasah. – MalaysiaGazette