Kementerian Kesihatan  mengesan sebanyak tujuh lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tujuh lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penemuan itu ia menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditemui di negara ini sebanyak 5,938 kluster.

“Terdapat 227 kluster yang diklasifikasikan masih aktif namun, 5,711 telahpun ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, seramai 4,984 pesakit telah sembuh, manakala 507 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 401 daripadanya disahkan positif Covid-19 manakala 106 disyaki dijangkiti.

Terdapat 272 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, dengan 175 pesakit sah positif Covid-19 dan baki 97 pula disyaki positif, ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 4,066 kes jangkitan hari ini merupakan penularan tempatan melibatkan 3,846 rakyat Malaysia dan 220 warga asing, manakala 21 kes import.

Daripada jumlah itu, hanya 1.8 peratus pesakit berada dalam kategori 3, 4 atau 5 ketika didiagnosis, jelas beliau.

Dr. Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan atau R0 adalah 0.96, dengan Labuan merekodkan R0 tertinggi iaitu 1.12.

Ia disusuli Kedah (1.02) dan Pahang (1.01). Negeri lain dan Wilayah-wilayah Persekutuan merekodkan tahap R0 1.00 ke bawah. – MalaysiaGazette