Semuanya bakal terjawab apabila Kuala Lumpur City FC (KL City) atau Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil.- Gambar MFL.

KUALA LUMPUR – Pasukan manakah yang akan menjulang trofi Piala Malaysia sempena ulang tahun ke-100 malam ini?

Semuanya bakal terjawab apabila Kuala Lumpur City FC (KL City) atau Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Atas kertas, ramai memilih skuad JDT kendalian Benjamin Mora berdasarkan segala kelebihan yang dimiliki berbanding skuad underdog KL City kendalian Bojan Hodak.

Namun berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini, KL City antara kelab yang mampu memberi saingan apabila mereka terikat 1-1 di gelanggang sendiri dan hanya tewas tipis 1-2 di Stadium Sultan Ibrahim.

Kini peluang KL City terbuka luas untuk mengenepikan JDT yang menjulang Piala Malaysia pada 2019 sekali mengubah sejarah sejak 2015 apabila piala berprestij itu dimenangi pasukan berbeza setiap musim.

Tahun lalu, Piala Malaysia dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Sebelum ini hanya Pahang menjadi pasukan terakhir berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi selepas muncul juara pada 2013 dan 2014.

Bagi Bojan, mereka tidak berada dalam tekanan dan akan bermain seperti biasa menentang skuad kendalian Benjamin Mora.

Bojan turut melabelkan JDT sebagai pasukan pilihan kerana mempunyai ramai pemain berkualiti dan ada kelebihan dari segi fizikal.

“Saya tahu akan ada banyak masalah, kedua-dua pasukan agak terikat, terutamanya kami kerana kami tidak mempunyai dua skuad, kami tidak mempunyai 10 pemain import seperti mereka,” katanya pada sidang media semalam.

Namun Bojan tetap memasang impian melihat KL City FC menjadi juara selepas kali terakhir memenanginya 32 tahun lepas pada edisi 1989.

Yang pasti, malam ini, peledak berbisa KL City yang juga penjaring terbanyak Piala Malaysia, Romel Morales (10 gol) dan mesin gol JDT, Bergson Da Silva (tujuh gol) dijangka menjadi tumpuan  serta bakal dikawal rapi pertahanan kedua-dua pasukan.

Jadi daripada segi ketajaman penyudah, tiada perbezaan ketara antara Harimau Selatan dan City Boys apabila masing-masing meledak 19 dan 17 gol sepanjang saingan.

Cuma benteng pertahanan, JDT lebih kebal apabila anak buah Benjamin Mora hanya melepaskan dua gol dalam 10 perlawanan.

Apa pun mampukah KL City FC menjelmakan kejutan di perlawanan akhir pada malam ini. Tempoh 90 minit perlawanan akan menentukanya jika tiada masa tambahan dan sepakan penalti.

Ramalan MalaysiaGazette KL City menang 2 – 1 dengan JDT.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast