Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menubuhkan tabung khas amanah bagi menampung kerja membaikpulih jalan rosak akibat laluan kenderaan berat dan lebih muatan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian dan Perladangan dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, dana itu diambil daripada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di kawasan berkenaan.

“Kontraktor yang menjalankan kerja termasuk jalan raya, lebuh raya, kuari atau pemasangan paip dan sebagainya kita wajibkan mereka menyumbang bagi kos penyelanggaraan jalan rosak di kawasan berkaitan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan di DUN Selangor, hari ini.

Beliau berkata, bagi mengatasi kerosakan jalan akibat kerja pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE), beberapa langkah telah diambil melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Katanya, sejumlah peruntukan telah dibelanjakan untuk membaikpulih jalan rosak akibat kenderaan lebih muatan yang melalui jalan berkenaan dan juga kerja oleh kontraktor berdekatan.

“Kerja baik pulih ini selain daripada tabung khas amanah, kita juga menggunakan peruntukan MARRIS dan peruntukan tambahan lain.

“Lokasi kerja ini tertumpu kepada Jalan Bukit Badong dalam daerah Kuala Selangor yang mengalami kerosakan agak kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, Ir. Izham memberitahu, kerajaan negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemantauan dan Penyeragaman Berkaitan Bahan Batu Batuan dan Mineral Selangor telah memutuskan pengusaha, pemegang permit bahan batuan dan kontraktor di lokaliti kawasan jalan raya itu perlu menyelenggara jalan yang rosak disebabkan kenderaan lebih muatan. – MalaysiaGazette