Noor Hisham Abdullah PUI PUS Melaka Election SOP
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,619,577 kes kumulatif Covid-19 telah dilaporkan pada Minggu Epidomologi (ME) ke-47 sehingga 27 November lalu.

Sebanyak 65,978 kes aktif dan 30,280 kes kumulatif kematian direkodkan dalam tempoh tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penurunan nilai kadar kebolehjangkitan (Rt/Ro) Malaysia mulai minggu lepas telah mendatangkan kesan positif kepada kebanyakan indikator utama jangkitan Covid-19 yang kini menunjukkan trend penurunan berbanding ME ke-46.

“Namun begitu, tren peningkatan kewujudan kluster baharu pada ME ke-47 iaitu daripada 20 hingga 27 November 2021 dalam semua kategori kecuali tempat kerja dan import adalah amat membimbangkan.

“Penurunan kes baharu secara kumulatif bagi minggu epidemiologi sebanyak 6.8 peratus iaitu daripada 40,600 kes (ME ke-46) kepada 37,830 kes (ME ke-47) sementara kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 12.4 peratus dengan 304 kematian berbanding 347 kematian pada ME ke-46,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 5 peratus iaitu 452 kes (ME ke-46) kepada 431 kes (ME ke-47).

Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan sebanyak 6 peratus daripada 179 kes pada ME ke46 kepada 169 kes pada ME ke-47, ujarnya

“Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU dan kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan mulai menunjukkan tren penurunan mulai ME ke-45,” katanya.

Tambah beliau, sehingga 27 November 2021, terdapat 5,928 kluster telah dilaporkan dan hanya 234 kluster masih lagi aktif, penurunan sebanyak 2.5 peratus berbanding ME ke-46.

Selain itu, jelas beliau, sebanyak 56 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-47 dengan 50 kluster telah dilaporkan untuk tempoh tersebut.

Daripada jumlah itu, sebanyak 22 adalah kluster tempat kerja, kluster komuniti (6); kluster kumpulan berisiko tinggi (6), kluster pusat pendidikan (6), kluster aktiviti keagamaan (2) dan kluster pusat tahanan (1).

“Peningkatan semua jenis kategori kluster kecuali import dan tempat kerja ini adalah amat membimbangkan kerana ini menunjukkan peningkatan aktiviti sosial di semua peringkat tetapi pematuhan SOP sudah mulai dipandang ringan.

“Hal ini terbukti apabila data menunjukkan terdapat peningkatan tawaran kompaun bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka sebanyak 8.9 peratus.

“Walaupun kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal mulai berkurang (penurunan 73.7 peratus), namun pemakaian pelitup muka dengan betul haruslah diberi penekanan. Ini adalah amat penting bagi memastikan perebakan melalui udara dapat dikurangkan,” katanya. – MalaysiaGazette