Gambar hiasan
JOHOR BAHRU – Kerajaan masih lagi menunggu keputusan rasmi daripada pihak Arab Saudi berhubung penetapan kuota haji tahun hadapan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ianya mungkin mengambil masa kerana Riyadh perlu memikirkan soal prosedur operasi standard (SOP) termasuk logistik.
Selain itu, isu varian Omicron juga menjadi pertimbangan.
“Kita masih belum pasti sama ada varian baharu itu ada merisikokan kita dengan pelaksanaan ibadah haji yang diperketatkan.
“Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji yang pulang dari sana memaklumkan bahawa Arab Saudi belum lagi membuat sebarang keputusan. Ini kerana mereka memikirkan pelbagai aspek antaranya pelaksanaan SOP dan logistik di sana.
“Saya amat berharap varian baharu itu tidak melibatkan negara kita,” katanya selepas program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Masjid al-Jawahir, Mutiara Rini, hari ini.
Mengikut laman web Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.
Namun, bagi musim Haji 1442 hijrah/2021, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya.
“Perkara itu akan diputuskan oleh pihak Penasihat Syariah Tabung Haji untuk membuat pendirian,” ujarnya. – MalaysiaGazette