Lelaki pemastautin tetap bersama dua kenderaan yang digunakan untuk menyembunyikan dan mengedar rokok seludup tak bercukai ditumpaskan PGA di Taman Harmonis dalam serbuan hari ini. - Gambar Ehsan PGA Semenyih.

KUALA LUMPUR – Kegiatan jenayah seorang lelaki warga asing yang menyimpan rokok seludup dalam kenderaannya terbongkar apabila suspek dicekup polis.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya menahan lelaki pemastautin berusia 66 tahun itu bersama dua kenderaannya yang diparkir di hadapan rumahnya pukul 7. 30 pagi di Taman Harmonis.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu kami menjumpai rokok diseludup dan tidak bercukai pelbagai jenama yang telah disembunyikan dalam kedua-dua kereta itu.

“Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah sebanyak 2,030 karton dalam anggaran bernilai RM143,788,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala jelasnya, nilai cukai untuk rokok berkenaan adalah RM230, 832.

Justeru Rizal berkata, pemeriksaan di dalam kediaman suspek tidak menjumpai sebarang barang jenayah.

“Kedua-dua kenderaan yang digunakan suspek menyimpan rokok seludup itu dirampas dan disita termasuk telefon bimbit milik suspek.

“Tangkapan dan rampasan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Gombak untuk tindakan lanjut siasatan di bawah Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya membantu polis mematahkan satu rangkaian pengedaran rokok seludup tidak bercukai yang aktif di sekitar Gombak dan Selayang,” tegasnya.-MalaysiaGazette