Aireroshairi Roslan

KUANTAN – Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa kesal  dengan penganjuran konsert ‘Live In Kuantan’ yang akan berlangsung pada 18 Disember 2021 di Stadium Darul Makmur di saat wabak pandemik masih belum reda sepenuhnya.

Ketua Pemuda (DPPNP) Aireroshairi Roslan berkata, penganjuran konsert atau aktiviti hiburan bukanlah keutamaan dalam situasi semasa yang masih kritikal.

“Aktiviti sebegini juga tidak wajar dijadikan sebagai ubat untuk menenangkan emosi dan tekanan rakyat yang sedang terdesak untuk meneruskan kelangsungan kehidupan selepas pasca PKP yang sangat menekan dalam semua aspek kehidupan,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru, beliau Kerajaan Negeri Pahang untuk lebih meneliti dan sensitif dalam memberi kebenaran dalam hal penganjuran aktiviti hiburan bagi mengelakkan kegusaran masyarakat dengan penganjuran konsert berkenaan.

“Dalam situasi aktiviti kerohanian dan imarah masjid dan surau masih lagi terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sehingga solat masih lagi dikerjakan dalam keadaan berjarak, kanak-kanak (bawah 7 tahun) masih tidak dibenarkan untuk hadir ke masjid,

“Aktiviti kuliah dan majlis ilmu masih terikat dengan jangka waktu tertentu dan pelbagai kekangan yang lain seperti yang terkandung dalam SOP yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti, namun aktiviti hiburan terus mendapat kemudahan dan ruang yang luas untuk dianjurkan samada di dalam media sosial, media massa mahupun secara fizikal.

Tambahnya, penganjuran konsert dan aktiviti hiburan boleh menimbulkan keresahan memandangkan pihak penganjur seolah-olah cuba memberi candu kepada rakyat negeri ini agar terus berkhayal seterusnya melupakan tekanan dan himpitan realiti kehidupan semasa.

“Dalam situasi tekanan hidup semakin memuncak disebabkan aliran tunai dan kuasa beli semakin berkurang, ditambah pula dengan kenaikan mendadak harga barangan makanan asas, kerajaan seharusnya memikirkan jalan bagaimana boleh meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

“Lebihkan program-program dan insentif yang boleh membangunkan modal insan dan kemahiran survival kehidupan yang lebih bermanfaat dan efektif bukan dengan aktiviti hiburan untuk sekadar meredakan tekanan pada jangka masa sekejap sahaja. – MalaysiaGazette