Program jualan keperluan asas untuk Keluarga Malaysia akan dilancarkan esok melibatkan pelbagai barangan harian dengan harga antara 15 hingga 20 peratus lebih rendah dari pasaran.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program jualan keperluan asas untuk Keluarga
Malaysia akan dilancarkan esok melibatkan pelbagai barangan harian dengan harga antara 15 hingga 20 peratus lebih rendah dari pasaran.

Program inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu akan turut melibatkan pelbagai agensi berkaitan perbekalan dan jualan keperluan asas.

Program berkenaan bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pantai Dalam di sini petang esok.

“Agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini termasuk agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan selain pelbagai syarikat swasta dalam rantaian pemborongan serta pengeluar barangan keperluan asas,” kata KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.

Program berkenaan susulan langkah-langkah penguatkuasaan yang diambil oleh 2,300 anngota penguat kuasa KPDNHEP seluruh negara termasuk menggerakkan lebih 1,000 pegawai pemantau harga bagi mengawal 480 produk kawalan di premis seluruh negara.

Antara barangan keperluan asas yang bakal ditawarkan ialah ayam proses standard, telur ayam, ikan segar dan sejuk beku seperti ikan kembung, selayang, selar, pelaling dan cencaru.

Manakala sayuran termasuk cili merah, bawang besar, tomato, sayur berdaun, kubis dan kentang.

Barangan proses seperti sardin, susu pekat manis, kicap, sos cili dan tomato serta ikan bilis turut ditawarkan oleh sekurang-kurangnya 20 pengeluar dan pemborong utama barangan keperluan asas ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian memahami apa yang diperlukan oleh rakyat adalah harga barangan yang mampu dimiliki dan memastikan tiada yang kelaparan di rumah.

“Harapan kami supaya inisiatif bersama ini dapat memberi manfaat kepada pengguna, terutamanya golongan B40,” katanya.

Alexander berkata, KPDNHEP di setiap negeri sudah diarahkan untuk bersiap sedia dan mengenalpasti lokasi yang bersesuaian bagi pelaksanaan program JKM ini di setiap negeri.

Inisiatif ini akan turut diadakan di seluruh negara terutama di kawasan bandar besar, pinggir bandar dan pedalaman bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup ekoran peningkatan harga barangan keperluan asas, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast