Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika hadir ke Majlis Malam Anugerah Francais 2021 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 DECEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat meneruskan program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik pada tahun depan.

Ia bagi memastikan lebih ramai dapat menerima manfaat terutamanya Keluarga Malaysia dari kumpulan B40 dan M40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, sebanyak 144 permohonan daripada francaisor dan potensi francaisi bernilai lebih RM22 juta telah diterima untuk diproses.

Katanya, sebanyak lapan francaisor dan 29 francaisi telah mendapat bantuan kerajaan menerusi program tersebut dengan peruntukan tahun semasa berjumlah RM4.5 juta.

“Kerajaan telah memperkenalkan program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik pada tahun ini bagi membantu golongan B40 dan M40 menceburkan diri dalam industri francais dan ia telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Kejayaan program ini amat penting kerana ia merupakan sebahagian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 Hari Jemaah Menteri yang dinilai di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap sempena Majlis Malam Anugerah Francais (MAF) 2021 di Hotel Marriot malam ini.

Hadir sama  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Dr. Radzali Hassan.

Menerusi MAF 2021, sebanyak 19 kategori anugerah diiktiraf melibatkan francaisor, francaisi, francaisi induk, media serta organisasi dan individu yang telah memberi sumbangan dan berjasa kepada pertumbuhan industri francais negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, industri francais dijangka terus menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara mulai tahun ini hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Jelas beliau, kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri francais demi memastikan lebih ramai pemain industri dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia.

“Di bawah Bajet 2022, pelbagai inisiatif turut dirangka untuk membantu usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat.

“Khusus untuk pembangunan francais dan jualan langsung, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi mendorong industri francais berkembang dengan lebih pesat.

“Diharap KPDNHEP dan MFA dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti dan program yang akan memanfaatkan penggiat industri francais selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sehingga kini, terdapat 1,093 syarikat perniagaan francais yang berdaftar dengan KPDNHEP di mana 616 daripadanya adalah jenama francais tempatan manakala 409 lagi merupakan jenama francais asing.

Kata beliau, industri francais telah menyediakan lebih 80,000 pekerjaan dan menyumbang lebih RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setahun melalui pembayaran gaji kepada para pekerja di syarikat-syarikat francais.

“Kita patut berbangga kerana jenama francais tempatan telah berjaya bertapak di lebih 70 negara di seluruh dunia, antara negara yang mempunyai outlet jenama francais Malaysia terbanyak adalah Arab Saudi dengan 744 outlet, Indonesia sebanyak 670 outlet, Amerika Syarikat sebanyak 424 outlet serta beberapa negara yang lain.

“Sehingga semalam, nilai jualan industri francais mencecah RM14.6 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM13 bilion dengan peningkatan hampir 10% pada tahun sebelumnya walaupun tahun kewangan semasa belum berakhir dan dunia masih berhadapan cabaran impak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Radzali pula berkata, MFA berharap kerajaan dapat meneruskan program Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.

“Pemberian geran perniagaan ini dilihat bukan sahaja dapat membantu golongan B40 dan M40 menceburi bidang perniagaan francais. Malah ia juga dapat membantu golongan ini meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik untuk jangka masa yang panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast