Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

IPOH – Tiga lelaki termasuk dua beranak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu pergaduhan di Pasar Pagi Rumah Pangsa di Jalan Hospital di sini, minggu lepas.

Ramli Lot, 60, dan anak lelakinya, Ismail Ridzuan Ramli, 34, serta bapa saudara Ismail Ridzuan, Mohd Fuzi Ab Manaf, 47, kesemuanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan ke atas Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, di Pasar Pagi Rumah Pangsa di Jalan Hospital di sini antara 9.50 pagi hingga 11.05 pagi, 25 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Jan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan penilaian kesihatan mental Ramli.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.

— BERNAMA